Tidak dinafikan kedudukan dan populariti yang dimiliki seseorang individu yang bergelar anak seni sememangnya tidak dapat dijangkakan, lebih-lebih lagi bagi artis yang telah meninggalkan status bujang.
Berpegang kuat pada rezeki dari Tuhan, pelakon popular, Lisa Surihani mengakui dirinya sentiasa berfikiran positif dan tidak terlalu memikirkan percakapan sesetengah pihak yang mengatakan perkahwinan bakal memusnahkan kariernya sebagai pelakon.
Terbukti keyakinan aktres yang telah mendirikan rumah tangga bersama pengarah filem, Yusry Abdul Halim pada Februari lalu berbaloi apabila tawaran lakonan yang diterimanya tidak pernah putus, malah rezekinya dalam bidang itu ternyata semakin baik.
"Banyak orang cakap lepas kahwin, karier sebagai seorang artis pasti akan merudum. Tapi saya tidak peduli dengan kata-kata itu dan hanya percaya pada rezeki yang Tuhan berikan.
"Benarlah kata orang tua dahulu, rezeki selepas berkahwin sememangnya bertambah. Alhamdulillah, saya bersyukur dan gembira dengan apa yang saya ada sekarang," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri terbaru Astro berjudul Mana Hilangnya Juwita.
Tambah Lisa, status sebagai isteri tidak membataskan dirinya untuk menjalani karier seninya seperti biasa.
"Selagi termampu, saya akan meneruskan bidang lakonan kerana ini adalah minat saya. Lagi pun, Yusry sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada saya dan tidak meletakkan apa-apa syarat untuk saya teruskan perjalanan seni ini selagi saya tahu di mana batasnya.
"Alhamdulillah, kami saling memahami karier masing-masing. Walau sesibuk mana pun, kami berdua akan tetap meluangkan masa untuk bersama," katanya.
Sedia timang cahaya mata
Sudah menjadi lumrah bagi selebriti yang baru mendirikan rumah tangga, pastinya akan ditanya mengenai cahaya mata.
Tidak terlepas daripada perkara sama, Lisa memberi jawapan dengan tenang.
"Saya sentiasa melihat perkara ini dari sudut positif. Ia sedikit pun tidak beri tekanan kepada saya kerana saya tahu, setiap jawapan daripada soalan yang mereka tanya adalah kuasa Tuhan.
"Soal anak, kami berserah. Kalau ada rezeki, saya dan Yusry tidak akan menolaknya," jelasnya.
Menyentuh mengenai kediaman baru mereka yang terletak di kawasan elit Country Height Resort, Kajang, Lisa berkata, rumah tersebut masih dalam pembinaan dan dia tidak sabar untuk mendiami rumah pertamanya bersama Yusri itu.
"Setakat ini, proses pembinaan rumah kami hampir 90 peratus siap dan dekorasi rumah itu adalah idea daripada Yusry sendiri. Oleh kerana cita rasa kami tidak jauh beza, kata sepakat untuk membuat keputusan mengenai konsep rekaan dalaman tidak memberi sebarang masalah buat kami.
"Saya agak teruja dan tidak sabar untuk melihat hasilnya. Buat masa sekarang, saya dan Yusry akan berulang alik ke rumah keluarga kami," katanya.
Sukar jadi Anggun
Bercerita mengenai penglibatannya menerusi drama bersiri, Mana Hilangnya Juwita, Lisa yang memegang watak utama, Anggun, mengakui agak sukar menghayati watak itu.
Menurutnya, ini adalah kali pertama buat dirinya menjiwai watak yang mengharungi situasi serius.
"Dalam drama ini, saya telah berusaha memahami situasi dan penderitaan yang di alami Anggun yang kehilangan seorang adik perempuan bernama Juwita. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan, saya sendiri terpaksa membayangkan situasi yang sama berlaku kepada diri saya.
"Pada mula mendapat tawaran dan setelah melihat tajuk drama ini, saya sudah jangkakan ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Bagaimanapun, saya telah melakukan yang terbaik untuk menjayakan drama ini dan mengharapkan penonton akan terhibur," katanya.
Selain Lisa, drama ini turut dibintangi Erra Fazira, Datin Umie Aida, Zahiril Adzim, Raja Illya, Diana Johor dan ramai lagi.
Dalam perkembangan lain, Lisa dan Yusry bakal menyumbangkan suara dalam filem kartun antarabangsa, Smurf dengan memegang watak utama, Smurfette dan Brainy yang akan menemui penonton pada 19 Ogos, di siaran HBO.
sumber:








0 comments:
Post a Comment